Sabtu, 13 Jun 2009

PENGENALAN - BAKTI SISWA

Persatuan Mahasiswa Fakulti Ekonomi & Perniagaan (PMFEP) merupakan sebuah badan pelajar yang ditubuhkan di bawah Akta Universiti & Kolej Universiti, Seksyen 53 (1), Perlembagaan Universiti (pindaan 1998). Ditubuhkan pada 30 Disember 2004, persatuan ini bukan sahaja bermatlamatkan mendedahkan ahli persatuan kepada program-program ilmiah semata-mata, malah turut memupuk jiwa individu yang bertanggungjawab terhadap diri, keluarga, agama, bangsa dan negara.

Program Bakti Siswa atau BAKSIS, merupakan satu daripada program utama PMFEP yang memberi penekanan kepada program khidmat bakti masyarakat. Bermula dari penubuhan PMFEP, beberapa program BAKSIS telah dijalankan di beberapa buah tempat termasuklah di Kampung Kundang Ulu, Muar (Kampung Angkat UKM) dan rumah-rumah anak yatim di sekitar Selangor.

Atas rasa tanggungjawab sosial dan kemasyarakatan, PMFEP sesi 2009-2010 telah mengambil inisiatif untuk melantik sebuah kampung yang berpotensi untuk dibangunkan dan seterusnya dijadikan sebagai Kampung Angkat Fakulti Ekonomi & Perniagaan (FEP). Kampung tersebut ialah Kampung Ampangan, Tanjong Karang, Selangor. Selaras dengan perlantikan Kampung Angkat FEP ini, semua program BAKSIS akan tertumpu di kampung ini sahaja. Bertindak sebagai pelopor program ini, PMFEP sesi 2009-2010 akan menyediakan perancangan jangka panjang program-program yang akan dijalankan di Kampung ini dan akan diteruskan oleh saff kepimpinan PMFEP bagi sesi-sesi yang akan datang.

Perlantikan Kampung Angkat FEP ini adalah berdasarkan rasa prihatin PMFEP untuk membangunkan sosio-ekonomi masyarakat setempat. Program ini juga bertepatan dengan misi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk memperkasa program-program khidmat masyarakat. Ia juga merupakan sebahagian program PMFEP untuk menyokong keahlian UKM di The Tallories Network yang menitikberatkan program-program kemasyarakatan dan khidmat sosial.

Program-program yang dijalankan di Kampung Ampangan ini akan melibatkan semua peringkat umur dari peringkat kanak-kanak hinggalah dewasa. Bentuk-bentuk program juga adalah bersesuaian dengan kepakaran para pelajar dan pensyarah FEP iaitu dalam bidang ekonomi dan perniagaan termasuklah dalam bidang pembangunan usahawan, sumber manusia dan hak pengguna. Selain itu, program-program yang dijalankan juga akan melibatkan bidang-bidang minor seperti pembangunan akademik, teknologi dan kerohanian.

Di samping menabur bakti kepada masyarakat, program seumpama ini juga dapat mendedahkan mahasiswa/i FEP khususnya kepada aktiviti luar yang dapat melahirkan generasi pemimpin yang prihatin dan bertanggungjawab. Program ini adalah sebahagian latihan awal kepada mahasiswa/i supaya lebih berketrampilan dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi sebelum memasuki alam pekerjaan serta sebagai langkah awal membentuk pelapis pemimpin masyarakat yang prihatin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan